Friday, April 29, 2011

intelektual besar tungau

Sedikit sambungan, untuk sesiapa yang pernah membacanya
*********************************************



Malam yang dingin, sunyi.Aku ambil peluang untuk berehat diatas katil. Dilantai bilik, ada Si Paris sedang bereksperimentasi dengan satu 'benda' pelik.
"Wah..wah..kau hebat"

Si Paris angkat dan lambung-lambung 'benda' tersebut ke atas, sampai melekat pada lampu kalimantang.  Ikut lumrah dan resmi graviti, 'benda' tersebut jatuh kembali. Menyerah secara 'total' kepada Si Paris.

Ditarik-tariknya badan 'benda' itu. Elastik dan melekit-lekit buat Si Paris jadi kagum. Dibaling-balingnya ke dinding dan melekat.

"Wah..wah..kau macam getah!"

Si Paris begitu bangga dengan permainan terkininya itu. Aku diam sahaja, bergolek atas katil. Malas untuk aku memperbetulkan intelektual budak 'besar tungau' ini. Ini lebih elok sebenarnya, biar dia kaji sendiri.

Si Paris cuba cium 'benda' itu. "Bluuueeekk, bau kau masam!"

Diambilnya secawan air kosong yang terletak diatas meja belajar lalu direndam benda tersebut berkali-kali. Si Paris banyak lakukan pengulangan dalam setiap tindak-tanduknya. Selesai merendam, dilapkan 'benda' tersebut dengan hujung seluar pendek yang dipakainya.

"Hahaha, kini kau telah berbau wangi.."  gelak bangga Si Paris.

Pertama kali aku datang, aku sangkakan bahawa sehelai kain kuning bergambar ikon masakini 'SpongeBob' adalah kain buruk. Jenuh mendengar bebelan ibunya(adik aku), setelah Si Paris merajuk tak mahu makan dek kerana seluar pendeknya itu aku jadikan kain buruk untuk mengelap kuah megi yang tumpah.

'Benda' itu, yang kita tahu sudah longlai tak bernyawa berada dalam pegangan Si Paris. Dia cuba untuk memasukkannya kedalam kocek seluar pendeknya, namun Si Paris batalkan sahaja rancangan itu. Seluar pendeknya tiada kocek. Jenis seluar pendek yang mati hidup balik sekalipun, kita akan terasa geli untuk pegang. Jenis seluar pendek yang kita takkan tahu bila kali terakhir ianya dibasuh.

Kita pergi semula pada pengenalan,

Si Paris sedang khusyuk membaca komik sambil berbaring  telentang dilantai bilik. Aku atas katil, bergolek. Sepatutnya ikut arahan asal, Si Paris harus menelaah buku pelajaran. Dasar degil yang diwarisinya turun temurun, Si Paris khayal sambil membayangkan dirinya menjadi hero dalam siri komik tersebut.
"Hahaha, akulah perwira gagah" katanya sambil menyelak komik berkenaan.

Kaki Si Paris bergoyang-goyang, menandakan dia sedang alpa dalam dunianya sendiri. Dia ini jenis bila berbaring tak perlukan bantal.
"Belakang kepala dia macam ada bonjolan pelik" bicara ayahnya(adik ipar aku) sedikit masa dahulu.

Tiba-tiba Si Paris merasakan sesuatu menjalar di jari kaki kanannya. Dia berkerut sebentar tanpa rasa ada mahu untuk menoleh melihat 'benda' yang menjalar itu.

Gaya pejuang.
Jari jemari kaki Si Paris bingkas bertindak melawan 'benda' itu.Ini seakan pertarungan sengit, dengan banyak penyesalan dari benak 'benda' itu, aku rasa. Pertarungan yang berakhir dengan kekalahan pada 'benda' itu. Ada nyawa yang telah melayang.

Si Paris tetap tekun menghabiskan pembacaannya sambil jari kaki mengentel 'benda' tersebut yang sudah longlai, mati. Selesai membaca, Si Paris duduk bersila sambil meletakkan 'benda' itu diatas tapak tangannya.
"Kan aku dah kata, aku ini kuat." ego seorang budak 'besar tungau'.

Penamat;
Si Paris terus leka dengan permainannya itu.
"Esok kau ikut aku pergi sekolah tau?" terkulai 'benda' elastik itu ditelapak tangan Si Paris.
Aku perhatikan dengan penuh minat tanpa masuk campur.Hendak ditegur, tapi minda aku berkata "Tunggu sampai dia cuba kulum 'benda' itu"
Kemuncak itu tak sampai kerana ibu Si Paris (adik aku) terpacul dihadapan pintu.
Aku cepat-cepat tutup mata, dengan harapan untuk berpura-pura tidur.Tak mahu disangka cuba berkomplot dengan aktiviti Si Paris.

"Kau, kalau nak merasa tidur luar rumah mainlah lama-lama dengan bangkai cicak tu." kata ibunya(adik aku).

Untuk Orang Linggi

Buat Tok Bon,

Selamat Jalan..Moga tenang disana bersamaNya.


"Memancing nie, hobi buang masa.."

Monday, April 25, 2011

Pergi

pergi cari mimpi kau sendiri.

Disini aku punya mimpi, aku punya langit, aku punya lautan.

Tropic Of Cancer : An excerpt 1

  "Going back in a flash over the women I've known.It's like a chain which i forged out of my own misery.Each one bound to the other.A fear of living separate, of staying born.The door of the womb always on the latch.Dread and longing.Deep in the blood the pull of paradise.
The beyond.Always the beyond.It must have all started with the navel.They cut the umbilical cord, give you a slap on the ass, and presto! you're out in the world, adrift, a ship without a rudder.You look at the stars and then you look at your navel.
You grow eyes everywhere-in the armpits, between the lips, in the roots of your hair, on the soles of your feet.What is distant becomes near, what is near becomes distant.Inner outer, a constant flux, a shedding of skins, a turning inside out.
You drift around like that for years and years, until you find yourself in the dead center, and there you slowly rot, slowly crumble to pieces, get dispersed again.
Only your name remains"
-Tropic Of Cancer, Henry Miller

Sunday, April 24, 2011

pernahkah kau?

Pernahkah kau lihat segalanya?

Bila matahari gagal keluar?

Pernahkah kau lihat ianya terjadi?

Bila lautan berhenti membekalkan ombak yang kuat untuk pantai?


Diantara semua yang indah-indah belaka, aku mahu terbang dengan sayap luka ini,
Masuk ke dalam mimpi indahmu, meneroka ruang legar yang haram bagiku cecah selama ini.

Kerana ini semua perlu bagiku,
Untuk mengekalkan ingatan terhadapmu.

petang ini

Jangan terlalu bersikap sempurna hinggakan kau bebas mengadili sesiapa sahaja.

Ada sebab kenapa hitam itu gelap, ada cerita untuk segalanya.

Thursday, April 21, 2011

Bebelan halusinasi

Setiap hari, malahan setiap malam aku bisikkan pada diri sendiri;
"Ini aku, baik-baik sahaja melorot jauh dalam diskriminasi perasaan"

Setiap waktu, malahan setiap saat aku bisikkan pada hantu dalam diri ini;
"Kau duduk diam-diam, ini untuk aku segalanya"

Moga aku takkan tewas dalam mencari arah menggunakkan kompas yang bebal. Moga aku gagah menelusuri denai-denai serabut otak tanpa sebarang vektor dan pandu arah.

Kompas bebal yang seringkali menipu aku dalam keadaan sedar gegak gempita hidup, berceloreng dengan nafsu sendiri.
Kerana kau, yang aku yakin hidup disana, tersenyum penuh kegembiraan sendiri.

Cairan idea memuntahkan segalanya dalam transit ini. Maksud aku, segalanya yang tersembunyi dari perasaan benteng hadapan.

Disini aku luruh sebentar, sebelum meneruskan perjalanan yang tiada destinasi.
Tiada jalan pulang, tiada penyambut, tiada pelukan.

Kompas yang bebal, biarkan disini dahulu.Esok bila aku bangun dan capai kau semula, bolehlah kita bergembira bersama dalam kesesatan.

literasi penat

Di antara pedih, penat dan longlai,
Terlindung dua bentuk kejayaan,
Kejayaan yang layak dicintai,
Bukannya permainan.

Akal (babi) dan licik.

Macam aku hari ini, bagi text message "Lewat kerana urusan pejabat".
Padahal, enak sangat tidur sampai malas nak bangkit awal.