Tuesday, February 1, 2011

Cerita Tentang Seguni Kentang , Demi Cinta Seorang Miskin

Azali seorang pemuda yang baik.Dia tinggal bersama ibunya yang telah tua.Perlu diberitahu juga yang Azali ini adalah seorang yang amat lurus bendul.Dia akan bikin segala yang diperintahkan kepadanya.Biasanya perintah-perintah tersebut dikeluarkan oleh ibunya sendiri.

Jarang sekali ada perintah yang dikeluarkan dari kota untuk penduduk miskin seperti mereka.
Dalam kehidupan mereka yang serba kekurangan, malahan dhaif, mereka redha.Selagi termampu, mereka berdua tetap teruskan kehidupan ini.

Yang penting mesti rajin, jangan malas.Kena selalu berusaha, walau hasilnya bukanlah berlipat ganda.
Mereka berdua tinggal didalam pondok usang yang dibina dekat lereng bukit.Disini tanahnya agak tandus.Taburan hujan tidaklah setinggi mana.Syukurlah ada oasis yang berhampiran, tempat untuk mengambil sedikit bekalan air.Itu pun atas ihsan tuan punya oasis, seorang lelaki tua yang mengalami penyakit sopak yang tinggal bersama seorang anak gadisnya bernama Dora.

Setiap hari Azali akan membawa bekas-bekas air yang diletakkan diatas seekor keldai menuju ke perigi dikawasan oasis tersebut.Bekalan air tersebut akan digunakannya untuk tujuan bercucuk tanam.Tak banyak hasilnya, tapi cukuplah sekadar untuk dijual sekitar kawasan Kota yang terletak tiga batu dari pondok usang mereka.

”Tiada apa yang mampu keluar dari tanah melainkan dengan usaha yang keras” pesan ibunya setiap hari.
Azali seorang anak yang setia pada ibunya.Setiap arahan dari sang ibu, ditunaikan tanpa banyak bicara.Segala yang dilihat, disentuh atau dicurigainya pasti akan dikongsi bersama sang ibu yang tua.Cuma dalam satu perkara, Azali pendam secara senyap-senyap.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Azali ada hati pada Dora.
Dia menaruh perasaan yang amat mendalam pada Dora, gadis pingitan yang cantik.Kulitnya mulus, tutur katanya sopan.Tak macam gadis-gadis yang terdapat didalam Kota.Semuanya hanyalah mainan semata.Jika ada wang, maka boleh berhibur.Azali anak yang baik.Dia tidak pernah melakukkan perkara yang terkutuk itu.Dia juga tahu, keinginan untuk memperisterikan Dora pasti akan ditentang oleh ibunya.Azali tahu, Dora juga dalam diam meminatinya lantaran dia terkenal sebagai pemuda yang amat rajin dan patuh pada perintah ibunya.

“Sampai bila pun macam ini aku takkan kahwin.Sekadar memeluk keldai sahajalah” tutur Azali setiap kali malam menjelma.

Suatu hari, dicubanya untuk menanyakan tentang Dora.Dia datang berjumpa dengan orang tua sopak untuk meminta Dora untuk dijadikan isterinya.Tak banyak soal pula orang tua tersebut.Hanya mahukan Azali jadi khadamnya untuk seketika dan...Seguni kentang.

Dalam perjalanan pulang, Azali bersiul-siul gembira.Dora pasti akan dimilikinya.Hidupnya juga sudah serupa khadam, tiada beza.Ditambah dengan, “Errmm cuma seguni kentang.Kan?” Kecuali, Azali sendiri belum pernah lihat bagaimana hatta rupa sebiji kentang.

Semasa memanjat lereng bukit menuju kearah pondok usangnya, tiba-tiba Azali terperasan akan sesuatu.Ia amat bersinar-sinar sekali.Objek berkenaan tertimbus didalam tanah, hanya sedikit sahaja  bentuknya timbul dari tanah.

Azali bingkas kearah objek yang bersinar tersebut.Digalinya dengan tangan.Dikuis-kuis perlahan agar objek tersebut tidak rosak atau pecah.

(Disangkanya mungkin cawan atau geluk emas, pasti boleh dijual dengan harga yang tinggi dipasar.Bolehlah dia gunakan wang berkenaan kelak untuk membeli seguni kentang, atau apa sahaja yang menyerupainya)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Wah, lebih baik dari apa yang aku sangkakan!”
Objek berkenaan kelihatan seperti lampu ajaib bersalut keemasan.Bersinar tapi sedikit kusam.Ya, Ianya adalah lampu ajaib.

“Eh apa ini?” Semacam pernah dilihatnya.Mungkin di Kota atau dimana sahaja.Dia lupa.Ada sekeping cop mohor diatas lampu ajaib berkenaan.Ia seolah menjadi penutup pada lampu ajaib itu.

“Ini, cop mohor Solomon! Milik moyangku!”

Dibukanya cop mohor berkenaan.Sekonyong-konyong, lampu ajaib itu berasap tebal.

Phufffff!!!...Phuffff!!!!

Dihadapannya kini, ada lembaga besar bertocang.Tidaklah sebesar mana.Mungkin empat hasta lebih tinggi dari Azali.Berkepak pula.Sungguh hodoh  rupa makhluk ini.

“Hahaha..terima kasih aku ucapkan kerana kamu telah membebaskan aku dari belenggu lampu ajaib ini!” sambil bercekak pinggang, lembaga itu melemparkan senyuman dan gelak tawa macam syaitan.
“Siapa kau?”

“Nama aku Djinn.Adalah menjadi niatku untuk menjanjikan permintaan kepada barangsiapa yang berjaya menemui lampu ajaib ini sekaligus membebaskan aku.”
“Ermm. Aku pula Azali.Inginku tanya, sudah berapa lama kamu didalamnya?”
“Adalah dekat tiga ribu tahun” Balas Djinn yang mula terhidu tentang kebodohan dan betapa lurus bendulnya Azali.

Sebenarnya, Djinn menipu sahaja.Baru seminggu lepas dia terperangkap dalam lampu ajaib berkenaan.Gara-gara menyepak beberapa biji batu disekitar lereng bukit, menimbulkan kemarahan Ifrah.”Menggangu aku mahu tidur!”.Lalu disumbatkannya Djinn kedalam lampu ajaib yang dicurinya dari Solomon semasa Ifrah berkhidmat dibawahnya.Ifrah kemudiannya mencampakkan lampu ajaib berkenaan jauh ke lereng bukit yang berkebetulan dekat dengan pondok usang Azali dan ibunya.
Bukan kebetulan, sebenarnya Ifrah telah merancangnya terlebih dahulu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Ayuh! Beritakan kepadaku , apa kehendakmu?”
“Aku tak mahu hidup miskin lagi! errr”

“Apa?”
“Seguni kentang!”

“Lagi?”
“Aku mahu jadi kaya..tidak..tidak..Aku mahu jadi masyhur dan ternama!..dan seguni kentang.”

“Iya, iya aku tak lupa pada kentang itu..Tapi, seperti sang dewa?”
“Iya..iya..seperti sang dewa yang tidak putus-putus kekuasaanya!..Dan seguni kentang!”
“Hahaha..kamu jangan jadi tamak, Azali”

“Tidak, tidak.Aku mahu jadi sang dewa yang baik.Jenis yang berbakti pada sekalian manusia.”
“Jangan kamu lupa, aku perlukan seguni kentang juga.”

“Hantu punya budak..Apa dia nak buat dengan seguni kentang agaknya” kata Djinn perlahan.Tak didengari oleh Azali yang sedang mencangkung sambil menggaru-garu punggung dihadapannya.

Ini merupakan permintaan yang amat berat.Djinn sudah terlanjur melafaz persetujuan atas segala permintaan Azali.Dia harus berhati-hati.Kalau tidak, persetujuan ini kelak memakan jangka hayat Djinn itu sendiri.Djinn harus berunding pada seseorang yang bijaksana.Djinn tahu , dalam keadaan tamak haloba manusia, mereka akan mudah lalai.

Berikan emas, tembaga dan tanah..maka si miskin ini akan terus lalai.Tapi Azali ini lain sedikit.Ada potensi untuk digunakan atas tujuan masa depan.Djinn tahu perkara ini.Dia dapat tilikan sedikit jauh mengenai Azali.Tapi Djinn perlukan lebih nasihat dan ilham.Djinn perlukan Midas.Dia juga perlukan seguni kentang.Dia sendiri belum pernah lihat bagaimana rupanya sebiji kentang.Inikan pula seguni kentang.Pelik.Siapa punya idea?
 
“Iya, Midas pastinya boleh berikan aku sedikit pengetahuan dan onarnya” fikir Djinn.
Dia kenal Midas sedikit masa dahulu.Tidaklah berapa rapat, tapi kenal juga.Midas antara manusia yang menjumpai cara untuk kekal abadi (Pastinya bukan dengan cara yang baik).Sesuatu yang Djinn sendiri inginkan sejak sekian lamanya.

“Kamu tunggu disini sebentar.Aku mahu runding sama ketua” Tipu Djinn pada Azali.

Djinn mengepakkan sayapnya.Terbang tinggi dilangit biru.Destinasi dia kini adalah untuk mencari Midas.
“Si tua ini mesti berada disekitar Laut Merah” terbang Djinn bersiulan.Dua tiga ekor makhluk ghoul terbang berselisih dengan Djinn.Menjelir-jelir lidah pada Djinn.

“Uwek,,Uwek..celakalah kamu wahai Djinn!!” ejek mereka.

(Ghoul adalah sejenis makhluk gelap yang berterbangan dilangit.Mereka tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki ke tanah atas beberapa perkara yang berlaku tidak lama dahulu.Ianya adalah arahan yang datang dari Luc.)
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Sebagai pertukaran, jualkan sahaja rohnya pada Ifrah selepas ini.” Kata Midas.
“Untung-untung begitu juga.Kan? Tapi Si Ifrah ini, sukar untuk aku mempercayainya.”
“Kau tak perlukan kepercayaan untuk urusniaga roh.Kau perlukan peniaga roh yang hebat macam Ifrah”
“Tapi mahukan dia pada anak muda? Setahu aku....”

“Hahaha..Berambus sahaja kau kepada Ifrah.Jangan risau, bisikkan sahaja nama aku padanya.Kelak dia mengerti.”
“Pastinya lumayan?”
“Lebih dari apa yang kau fikirkan.Ingat! hadiah urusniaga ini merupakan jasad untukmu kekal abadi.”
“Iya..iya..”

“Oh ya, jangan lupa juga khabarkan pada Ifrah perihal seguni kentang itu juga”
“Hantu punya Midas.Dia pun tahu juga perihal seguni kentang?” bisik hati Djinn.

Midas senyum.Bukan sebarang senyum.Ia senyum yang mengandungi tipu daya.”Kau fikir golongan kau lebih kuat menipu? Haha”
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ifrah duduk bersandar disinggahsananya.Duduk malas, kaki terjulur dibiarkan sambil diurut oleh beberapa gadis suruhan.Dia tahu sedikit masa lagi, Djinn akan datang kepadanya membawakan satu perjanjian.

Kamu tertanya apa hubungan diantara dia dengan Midas?
“Oh , ini hanyalah sebahagian kecil urusniaga aku dengan Midas.” Si tua licik itu berkata sendirian.

(Sebelum kedatangan Azali kerumah Dora, terlebih dahulu Si Ifrah telah membisikkan beberapa perkara kepada bapanya.Sebahagian darinya adalah permintaan untuk seguni kentang.Ifrah ceritakan pada bapa Dora, kononnya sebiji kentang mampu menyembuhkan penyakit sopaknya.Bapa Dora tak mengetahui yang bisikan itu datangnya dari Ifrah) 

Djinn masuk mengadap Ifrah.Dia senyum.Bila mengingatkan Ifrah lah yang menyumbatnya kedalam lampu ajaib berkenaan, Djinn jadi sedikit jengkel.

“Ayuh Djinn.Jangan buang masa aku.Tetapkan segala urusanmu.” Djinn tersenyum lebar mendengar kata-kata Ifrah.Lantas Djinn mengusulkan cadangan pada Ifrah.Mengenai Azali.Mengenai dia, yang inginkan jasad yang abadi.Mengenai seguni kentang juga.

"Ifrah, kamu tahu perihal seguni kentang?" Dalam keadaan kebodohan Djinn bertanya kepada Ifrah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tak lama kemudian Djinn terbang kembali menemui Azali.Dibentangkan kepadanya usul dan cadangan.Agar Azali dapat jadi dewa.Agar Azali dapat hidup mewah.

Tak lupa juga, seguni kentang pemberian Ifrah yang dipikulnya sepanjang perjalanan kembali kepada Azali.
“Nah, seguni kentang pemberianku.Tapi ingat Azali...”

Kembali duduk mencangkung, Azali menggaru kepala.Risau dan runsing.Berat sungguh perjanjian ini.
“Perjanjian apakah ini? Tak munasabah.Aaah, demi cinta aku pasrah!” kata hatinya.Fikir pendek.Demi cinta, demi keinginan pada gadis bernama Dora.

Perjanjiannya begini
I)Azali akan dinaikkan pangkat sebagai seorang dewa.Dia akan kekal selama mana selagi manusia masih mengingatinya.Selepas itu, Azali akan jadi milik Ifrah.Buat selama-lamanya.

“Jangan risau, kau boleh jadi dewa untuk beratus tahun! Fikirkanlah!” hasut Djinn.

II)Seguni kentang untuk satu nyawa.Ibunya yang telah tua.Roh ibunya tidaklah bermakna pun kepada Ifrah.Ia hanyalah sebagai token mainan untuk makhluk berkenaan menguji sejauh mana kekuatan dan kecekalan hati Azali untuk menerima tawaran Ifrah.

Azali setuju dengan dua syarat berkenaan.Azali terima perjanjian dengan Ifrah.
(Dengan Djinn sebagai perantaranya)

Dipondok buruk, ibunya kini terbujur kaku.Akibat sesak nafas, tubuhnya keras membeku.Ifrah telah pun mengambil nyawa ibunya.Sebagai sedikit tanda simpati, (Dan juga atas arahan Ifrah) Djinn telah membantu untuk kebumikan jasad ibunya sebaik mungkin dihalaman pondok buruk mereka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Azali, kini sudah bertaraf seorang dewa, merasai sedikit demi sedikit kekuatan.Dia merasakan amat bertenaga dan berkuasa sekali.Ringan tubuh badanya kini. “Wah! Aku berasakan sungguh hebat!”

Setiap minda penghuni Kota kini tertanam ingatan mereka pada dewa baru mereka itu.Kuil pemyembahan bakal dibina atas nama dia.Ianya hasil dari mainan akal oleh Ifrah.

Lalu diambilnya seguni kentang tadi menuju kawasan oasis, untuk dibawakan kepada orang tua berpenyakit sopak.Hajatnya untuk memperisterikan Dora sudah hampir berjaya.

Dunia manusia tidak akan lupa pada pengkhianatan suku-sakat Ifrah.Cuma Azali sahaja sedikit terleka dan lalai dengan kemasyhuran.Kelalaian yang mengundang musibah pada dirinya sendiri.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Biar diringkaskan disini sahaja.

Dora telah pun ‘dilarikan’ oleh Ifrah untuk dijadikannya gundik.Ifrah sendiri sudah lama tertawan dengan kecantikan Dora.Ifrah telah menyerupai dirinya sebagai seorang tabib untuk menyembuhkan penyakit sopak bapa Dora.Sebagai upahnya, Ifrah meminta Dora sebagai pengeras.

Bapa Dora, dalam keadaan gembira setelah sembuh dari penyakit sopak, terus memberikan Dora kepada Ifrah tanpa mengingati janji asal yang dibuatnya dengan Azali.

Azali setelah mengetahuinya, pulang hampa.Setibanya dihalaman rumah, dilihatnya kuburan yang telah dibina oleh Djinn untuk ibunya.Meratap sedih Azali ditepi kubur ibunya.

Djinn yang kini bakal meraih laba hasil dari pekerjaannya itu, memegang bahu Azali , seraya berkata
“Sudahlah..Nikmati sahaja pemberian dari Ifrah kepadamu”

Dipeluknya Azali kuat-kuat.Agak lama.Setelah itu, mata mereka bertentangan.
“Ingatlah..Kini kau bukan lagi Azali yang miskin”

“Kau kini adalah seorang dewa yang dikenali sebagai..Ankh!”
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Oh ya, sebelum terlupa.

Djinn dapat apa yang dia inginkan.Jasad yang kekal abadi.Si Ifrah tak mungkir janji.Tapi harus ingat, berjanji dengan makhluk seperti Ifrah pastinya ada yang kena tipu antara sedar ataupun tidak.

Djinn kini dapat jasad kekal abadi.Menjadi seorang Arab yang amat baik rupa parasnya.Ya, seperti manusia, Djinn juga telah mendapat pekerjaan tetap.Hari makan tahun, musim berganti kurun.Dis juga merentas masa, meredah benua.Djinn sekarang jadi pemandu teksi.Dia memandu di sekitar Bandaraya Los Angeles setiap hari.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

3 comments:

  1. rekaan semata-mata tu..tapi dalam novel American Gods, dia memang bawa teksi

    ReplyDelete
  2. cerita ni buat saya terbang2..akhirnya mendarat d LA.

    ReplyDelete